17 Nov
17Nov

SUNGAI BULOH: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin belum menerima notis saman daripada sekumpulan individu yang mendakwa menjadi mangsa vaksin COVID-19.

Khairy yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh itu berkata, sekiranya notis berkenaan diterima, beliau akan melantik seorang peguam bagi mewakili dirinya.

"Setakat ni saya belum terima notis saman dan (jika sudah terima) saya akan minta peguam yang dilantik untuk menjawab saman berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang media berkaitan status terkini COVID-19, di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 44 individu memfailkan saman terhadap kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya Menteri Kesihatan yang bertanggungjawab atas program vaksinasi negara, selepas mendakwa menjadi mangsa kepada kesan sampingan akibat vaksin COVID-19.

Kumpulan berkenan yang diwakili firma guaman Shahrin Satheer Kamal & Co turut memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan tiga pengeluar vaksin COVID-19 iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Pharmaniaga.

Peguam, Muhammad Shahrin Satheer, berkata kumpulan berkenaan mendakwa KKM memberi satu deklarasi tidak sah dan ia adalah satu persetujuan yang dipaksa oleh pihak defendan untuk mengelakkan mereka diambil tindakan akibat daripada kesan sampingan teruk disebabkan suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, kumpulan itu turut menuntut defendan bertanggungjawab atas kesan suntikan vaksin COVID-19 terhadap plaintif kerana memberikan kesan sampingan teruk termasuk menyebabkan kematian, kehilangan upaya kekal dan komplikasi lain yang mengakibatkan kerugian.

Mengulas lanjut, Khairy berkata ketika tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15, (PRU15), beliau tidak menolak isu vaksin mula diperkatakan dan digunakan oleh calon yang bertanding bagi menyerangnya.

Namun beliau menyatakan jika isu vaksin yang diketengahkan, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau hanya akan membahaskan mengenai perkara itu berlandaskan fakta. 

Katanya, KKM sudah berjaya membuktikan bahawa vaksin itu berkesan mengurangkan gejala akibat COVID-19, selain menurunkan jumlah kemasukan ke hospital akibat jangkitan virus itu.

"Saya nak maklumkan pelbagai video antivaksin timbul balik untuk serang saya. Saya sudah tanya pakar dan kita lihat status vaksinasi berkaitan insiden kematian yang tidak pernah divaksin adalah tiga kali lebih tinggi daripada yang sudah menerima dua dos vaksin.

"Kita sudah jelaskan daripada awal bahawa vaksin ini tidak berhasil untuk mencegah jangkitan kita tapi kurangkan kesan gejala. Kalau calon masih anggap vaksin sebagai uji kaji saya jemput calon itu untuk rujuk segala data dalam KKM berkaitan bagaimana vaksin turunkan jumlah kematian, kemasukan ke hospital dan kes sedia ada," katanya.

Comments
* The email will not be published on the website.