18 Nov
18Nov

SABAK BERNAM: Tindakan tegas akan diambil terhadap guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor, yang masih berdegil tidak mahu menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tindakan mengikut undang-undang itu, termasuklah diberhentikan kerja.

Beliau berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP), guru yang enggan mengambil vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dengan murid.

"Untuk peringkat awal, kita akan berikan ingatan dan amaran hingga ke peringkat kemungkinan diberhentikan kerja.

"Kita tidak mahu menyusahkan mereka, namun mengikut peraturan pekerjaan, guru ini boleh diambil tindakan jika ingkar arahan majikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Hari Kecemerlangan Pelatih dan Perasmian Dewan Baitul Ehsan di Pusat Perlindungan Baitul Ehsan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelawat Baitul Ehsan, Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.

Abdul Aziz berkata, beberapa peringatan dan nasihat, termasuk surat dan notis akan diberikan kepada guru berkenaan, termasuk makluman pengambilan vaksin di lokasi terdekat sebelum tindakan tegas diambil.

"Mereka tidak perlu datang sampai ke Shah Alam untuk suntikan vaksin kerana ia membabitkan kos kerana ia boleh dibuat di mana-mana tempat.

"Selepas vaksinasi lengkap, mereka perlulah melaporkan kepada ibu pejabat MAIS," katanya.

Ketika ini pihaknya tidak mempunyai data keseluruhan guru yang enggan divaksin, namun beliau berkata, ia membabitkan sebilangan kecil guru, termasuk mereka yang memberi alasan masalah kesihatan untuk tidak divaksin.

Comments
* The email will not be published on the website.