Rasulullah s.a.w. memilih cuka sebagai diet pemakanan.

Cuka bukanlah sesuatu bahan asing di dapur rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Biasanya, ramai yang menggunakan cuka buatan (syntatic veniger). Zat berbentuk cair ini, digunakan sebagai teman makanan.Bagi mereka yang mempunyai alahan terhadap cuka buatan, masih terdapat banyak lagi cuka lain yang boleh digunakan sebagai bahan makanan seperti cuka buah-buahan. Hari ini, ramai yang menggunakan bahan perasa lain bagi menggantikan ramuan asal cuka dalam masakan. Tindakan tersebut memang tidak salah, tetapi sedikit sebanyak menolak sunah Nabi Muhammad s.a.w. yang menganggap cuka sebagai hidangan terbaik.Rasulullah pernah bersabda, “Sebaik-baik hidangan makanan ialah cuka. Ya Allah berkatilah cuka, sesungguhnya cuka itu makanan nabi-nabi terdahulu sebelum Aku dan jangan terputus cuka dalam suatu rumah.”– HR Muslim

Cuka atau dalam bahasa Arab di sebut “khal” mempunyai khasiat pemakanan yang baik dalam mengimbangi diet pemakanan sihat. Cuka mempunyai sejarah amalan penggunaan yang unik. Cuka juga merupakan minuman kesihatan yang benar-benar tulen. Apa sahaja minuman beralkohol, jika dibiarkan terdedah kepada udara secukupnya akan bertukar kembali secara semula jadi menjadi cuka. Bakteria terkawal sedia ada dalam udara memungkinkan proses ini berlaku, menukarkan apa sahaja cairan buah-buahan menjadi asid asetat seterusnya menjadi cuka.

Proses ini memberikan khal rasa masam tajam. Jadi adalah tepat dikatakan manusia telah mengenali cuka semenjak sebelum sejarah cuka dan arak mula-mula ditulis dan dicatat pengkaji.

Digunakan sejak zaman dahulu.

Penemuan bertulis khal dicatat sekitar tahun 5000 Sebelum Masihi, apabila Babylon mula-mula menggunakan tamar (kurma) untuk dijadikan wain dan cuka. Khal ketika itu digunakan sebagai makanan dan pengawet organik. Kesan khal ditemui pada serpihan bekas tinggalan kota Mesir purba sekitar 3000 tahun sebelum Masihi. Begitu juga sejarah amalan khal di China sekitar 1200 tahun sebelum Masihi.Kajian kitab-kitab perubatan Islam juga ada menyatakan cuka telah diamalkan sejak dari zaman nabi-nabi dahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Masyarakat Babylon (sekitar 500 sebelum Masihi) juga telah menukar wain kepada cuka dengan menggunakan buah anggur, kurma dan buah tin.

Manakala pada era peradaban Kristian, khal diguna sebagai perasa tambahan dalam makanan, minuman penambah tenaga, dan sebagai ubat-ubatan, seperti tercatat dalam bible perjanjian lama.

Di zaman Greek kuno, sekitar 400 sebelum Masihi, Hippocrates, bapa perubatan moden menggunakan khal bercampur madu untuk mengubati pelbagai penyakit, termasuk demam selesema dan batuk. Hippocrates juga menggunakan cuka sebagai antibiotik dan tonik.Cuka turut digunakan oleh pejuang-pejuang silam bagi meningkatkan kekuatan badan. Selain orang Arab, cuka telah dipraktikkan semenjak berabad oleh kebanyakan penduduk Eropah, Jepun, Cina dan India.

Sebaik-baik lauk adalah cuka

Di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim, al-Tirmizi dan Ibn Majah ada menyebut perkataan ‘al-Idam’ yang bermaksud sesuatu yang dijadikan lauk untuk dimakan dengan roti. Manakala Imam Ibn Hajar al-Hajar al-Haytami dalam karyanya bertajuk ‘Asyraf al-Wasa’il ila Fahm al-Syama’il’ dengan panjang lebar mengenai hadis ini.

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada penerangan beliau ialah, hadis ini tidak bermakna bahawa Rasulullah s.a.w. menafikan kelebihan makanan yang lain selain cuka. Buktinya terdapat hadis riwayat al-Tabarani yang bermaksud, “Penghulu segala lauk ahli dunia dan akhirat ialah daging”. Justeru ia tidak menunjukkan bahawa cuka adalah yang terbaik walau pun ia antara yang terbaik disebabkan ia mudah didapati dan khasiat-khasiat yang terdapat padanya.”

Konteks hadis ini ialah, Rasulullah s.a.w. tatkala mengajak Jabir r.a. ke rumahnya lalu dihidangkan oleh isterinya beberapa keping roti. Baginda lantas bertanya, “Tiadakah sebarang lauk?” Lalu dijawab “Hanya cuka yang ada.” Nabi s.a.w. lalu meminta dibawakan cuka tersebut dan bersabda,“ Sebaik-baik lauk itu ialah cuka.” Ibn Hajar mengatakan, ini membuktikan kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. yang tidak berkira soal makanan sehingga cuka pun dijadikan lauk untuk dimakan dengan roti. Bahkan terdapat hadis riwayat al-Tirmizi yang menyatakan,

“Sesebuah rumah itu tidak dianggap kebuluran jika terdapat cuka di dalamnya.”

Dari hadis ini jelas Rasulullah s.a.w.  tidak memaksa dirinya hanya makan satu jenis makanan iaitu roti tanpa sebarang lauk bahkan Baginda makan roti dengan lauk-lauk yang lain seperti daging, buah labu, tamar dan sebagainya.

Baik untuk perubatan

Kajian ilmiah juga membuktikan cuka merupakan antibiotik yang dapat mencegah kerapuhan gigi, membersihkan sistem penghadaman, melawan bakteria dan parasit yang berada di dalam perut.Selain itu, cuka juga mampu mengaktifkan proses penghadaman tubuh, membantu mengatasi obesiti, mengubat penyakit asma, alergi dan cirit-birit kerana cuka mengandungi zat pencerut (constrictor). Perihal ini turut dicatatkan oleh Ibnu Sina dalam kitab Al-Qanun Fi Al-Tib iaitu, “Cuka kurma dapat mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser), menyucikan darah, membaiki masalah pencernaan di perut, masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan, menjaga kulit dari kepanasan matahari, mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol), menstabilkan asid dan garam di badan, membuang keracunan badan (toksik), masalah rahim, menguatkan gigi, mata, telinga serta mengembalikan tenaga lelaki dan perempuan.

Kepada yang sudah terkena penyakit, Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda,&nbsp;<em>“Setiap penyakit ada ubatnya.”Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan secara khusus penawar sesuatu penyakit. Oleh demikian mari kita beramai-ramai mengamalkan pemakanan cara Nabi Muhammad s.a.w. dan &nbsp;dalam masa yang sama mengamalkan makanan kesihatan sunah para nabi-nabi sebagai suatu ibadah dalam penyembuhan dan meneruskan warisan ulama perubatan Islam.

Perlu diingat, khal telah pun diamalkan secara meluas sejak turun temurun oleh bangsa Arab. Sebahagian ahli perubatan dari timur juga percaya, tekanan perasaan atau dikenali sebagai 'stres' adalah akibat dari hati. Mereka juga yakin dengan penggunaan cuka adalah detokfikasi untuk bersihkan hati. Sejak dahulu lagi cuka dan madu digunakan dalam perubatan untuk kesihatan manusia sejagat. Cuka sangat berguna untuk melarutkan deposit kalsium yang menyakitkan dalam badan, untuk sakit sendi seperti 'arthritis' dan masalah lain-lain lagi.Semoga dengan pengambilan cuka akan memberi manfaat kepada tubuh.

- Oleh Azrin Wahid - February 18, 2021

[Mudah-mudahan beroleh kesihatan InsyaAllah.]