03 Jun
03Jun

PETALING JAYA: Sekumpulan 44 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang ditamatkan kontrak perkhidmatan bulan lalu, menolak pendirian Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bahawa pemecatan mereka dilakukan secara sah.

Justeru, kumpulan guru Kafa berkenaan akan meneruskan tindakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengeluarkan surat berhenti kerja itu, kata peguam mereka, Muhammad Amin Anuar.

“Saya tak nafikan pihak penjawat yang berpangkat ini (Mais dan Jais) diberi kuasa untuk ambil sesuatu tindakan. Tetapi tindakan ini mestilah dibuat mengikut undang-undang.

“Dekat mana ayat dalam peruntukan undang-undang itu yang mengatakan anda boleh buang pekerja. Itu soalan saya. Tolong jawab. Sehingga itu, jumpa anda di mahkamah,” kata Amin kepada FMT.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, sebelum ini mendakwa Jais tiada pilihan lain selain menamatkan perkhidmatan semua guru Kafa yang enggan divaksin selepas mengambil kira faktor keselamatan ke atas anak murid.


Beliau mendakwa, tindakan itu dibuat mengikut peraturan dan prosedur undang-undang demi kebaikan semua pihak.

Reaksi Aziz itu membayangkan Mais dan Jais tidak berganjak daripada keputusan berkenaan sungguhpun kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran yang turut membabitkan mereka yang tidak divaksin.

Ini termasuk keputusan Kementerian Pendidikan membenarkan semula guru yang tidak divaksin mengajar bersemuka dengan murid.

Aziz tidak memperincikan undang-undang yang diguna pakai bagi menamatkan kontrak guru Kafa berkenaan.

Menurut Amin, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan pengambilan suntikan vaksin.

Justeru, kata beliau, anak guamnya tidak melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang yang membolehkan mereka dibuang kerja.

“Tak ada mana-mana peruntukan undang-undang yang mewajibkan vaksin. Apa justifikasi anda untuk amalkan diskriminasi sebegitu?” soal Amin.

FMT sebelum ini melaporkan Jais bertindak menamatkan kontrak perkhidmatan 57 guru Kafa. Daripada jumlah itu, 44 orang memutuskan untuk menyaman jabatan berkenaan.

Jurucakap mereka, Muhammad Shauqi Hadi Mohd Ja’ais, 26, berkata beliau dan rakan sejawatan terkejut menerima notis pemberhentian kerana kontrak mereka sepatutnya berakhir pada Januari 2024.

Sebelum dibuang kerja, kumpulan guru berkenaan dilaporkan digantung kerana enggan divaksin.

Bagaimanapun, Shauqi berkata, mereka diarah hadir ke sekolah seperti biasa, namun tidak dibayar elaun selama dua bulan sebelum diberikan notis pemberhentian.

Comments
* The email will not be published on the website.