07 Jun
07Jun

SEPANG: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, “kematian” tidak disenaraikan sebagai kesan sampingan vaksin Pfizer, kerana bedah siasat diperlukan untuk menentukan punca kematian seseorang.Noor Hisham menjadi saksi dalam perbicaraan terhadap pemilik Sky Clinic, Dr Roland Victor, yang didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung video dimuat naik ke Facebook mengenai pemberian vaksin Covid-19 pada 2021.

“Kita perlu melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian, sama ada diakibatkan vaksin atau satu kebetulan (selepas si mati diberi vaksin Covid-19).

“Ada kemungkinan si mati mempunyai penyakit lain, kita perlu mengesahkannya,” kata Noor Hisham menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nazneen Zulkifli.

Nazneen sebelum itu menyoal kenapa “kematian” tidak dinyatakan sebagai kesan sampingan vaksin Pfizer di aplikasi MySejahtera.

Noor Hisham berkata kementerian tidak menyenaraikan semua tindak balas negatif yang mungkin dialami akibat vaksin itu kerana aplikasi terbabit “terhad”.

“Kami tidak dapat memasukkan semua (kesan sampingan), jadi kami memasukkan yang paling lazim. Bagi kesan sampingan luar biasa, (orang awam) boleh merujuk dokumen disediakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di laman webnya,” katanya.

Terdahulu ketika soal balas, peguam bela Victor, Ahmad Zaidi Zainal berkata kematian antara kesan sampingan yang mungkin berlaku akibat vaksin Pfizer, menurut dokumen NPRA.

Zaidi: Dalam dokumen itu, adakah “kematian” disebut sebagai salah satu kesan sampingan?

Noor Hisham: Ia tidak mengatakan kematian (secara terang), tetapi komplikasi akibat miokarditis.

Zaidi:Ini bererti kematian salah satu kesan sampingan vaksin Pfizer?

Noor Hisham:Ya, ia satu kemungkinan.

Victor didakwa pada Julai 2021 kerana kenyataannya menerusi hantaran video di akaun Facebook “The KL Sky Clinic” bertarikh 2 Februari 2021. Dalam video itu, Roland mendakwa pekerja barisan hadapan menjadi “batu uji” apabila menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 pada Februari 2021.

Noor Hisham tegas tidak bersetuju dengan kenyataan Roland itu malah mengakui “marah dan sakit hati” selepas melihat video itu. 

Katanya, Roland juga membuat kenyataan yang menyinggung pekerja barisan hadapan, selain mencabar kewibawaan kementerian kesihatan.

“Kenyataannya itu tidak wajar kerana vaksin berkenaan telah menjalani ujian teknikal. Sebagai doktor bertauliah, beliau sepatutnya menenangkan orang ramai, bukannya mengelirukan mereka,” katanya dengan menambah vaksin berkenaan diberikan di United Kingdom dan Eropah enam bulan sebelum Malaysia.

Awal tahun ini, Noor Hisham berkata terdapat 20,131 laporan kesan sampingan di Malaysia melibatkan lebih 44.8 juta dos vaksin Pfizer diberikan, dengan 94.2% bukan kes serius.Perbicaraan di hadapan Hakim Fuad Othman bersambung pada 16 Jun.

Ralat: 19 June ialah tarikh perbicaraan selanjutnya.


sumber-https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/06/noor-hisham-perjelas-kematian-bukan-kesan-sampingan-vaksin-dalam-mysejahtera/

Comments
* The email will not be published on the website.